Hasnan (dua kiri) ketika hadir di Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Perak Bagi Januari 2018 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar. FOTO Muhaizan Yahya
Hasnan (dua kiri) ketika hadir di Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Perak Bagi Januari 2018 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


POLIS Perak menahan seorang lelaki selepas didapati memiliki pistol tiruan serta gari dan mengaku sebagai polis Singapura di sebuah kafe di Jalan Bercham, Ipoh, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, suspek berusia 47 tahun yang dipercayai peniaga didapati menyelitkan pistol tiruan serta gari berkenaan di tali pinggangnya.

Difahamkan, suspek yang ditahan selepas berlaku pergelutan dengan polis itu turut mengaku sebagai polis di Singapura dan memiliki kad pengenalan Singapura yang digantung di lehernya.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, polis akan menjalankan siasatan terhadap lelaki warga tempatan itu dan berhubung dengan polis Singapura bagi mengetahui status sebenarnya.

Katanya, suspek yang menjalankan perniagaan di situ didapati memiliki pistol tiruan serta gari yang diselitkan di tali pinggangnya ketika ditahan polis.

"Polis merampas pistol tiruan serta gari itu dan akan berhubung dengan penguat kuasa (polis) Singapura hari ini bagi mengetahui sama ada benar atau tidak suspek adalah penguat kuasa (polis) di negara itu.

"Jika tidak, siasatan seterusnya akan dijalankan dan suspek akan dituduh kerana memiliki pistol tiruan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, hari ini.

Sementara itu, Hasnan berkata, polis Perak sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, pihaknya akan mengadakan satu lagi latihan pada bulan depan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU-14 nanti.

"Seramai 8,500 pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk PRU-14 dan setakat ini kita meletakkan semua kawasan sebagai 'hotspot' sehinggalah parlimen dilakukan.

"Selepas itu barulah kita boleh mengenalpasti 'hotspot' sebenar dan setakat ini kita memang sudah bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 10:52 AM