BASIKAL yang disita dalam Operasi Basikal Lajak di depan Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
BASIKAL yang disita dalam Operasi Basikal Lajak di depan Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


“ADA ibu bapa memarahi serta mempertikaikan tindakan polis menahan serta menyita basikal lajak anak mereka dengan alasan sudah berbelanja ratusan ringgit untuk menyediakan 'jempol' yang lengkap dengan aksesori sepertimana diinginkan,” kata Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Muhamad Laham.

Muhamad berkata demikian ketika diminta mengulas tangkapan 10 remaja berbasikal lajak di depan Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Kluang, dalam Ops Basikal Lajak bermula 5 petang hingga 7 malam tadi.

Muhamad berkata, dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang itu, kesemua ibu bapa diminta hadir ke pejabat untuk menghadiri sesi kaunseling bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Bagaimanapun, segelintir ibu bapa tidak memberikan kerjasama selain memarahi anggota polis yang bertugas sedangkan operasi diadakan bertujuan membanteras aktiviti basikal yang membahayakan diri mereka serta jalan raya lain.

“Apa yang dikesalkan, ada ibu bapa sanggup mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM850 semata-mata memenuhi kehendak anak mereka untuk mengubah suai basikal untuk dijadikan basikal lajak yang cantik dan penuh dengan aksesori.

“Tindakan itu seolah-olah menggalakkan anak mereka menyalahi undang-undang jalan raya selain tidak mengambil iktibar beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini," katanya.

Muhamad berkata, operasi dijalankan berikutan aduan orang ramai dan semua remaja ditahan berusia 13 hingga 17 tahun kerana didapati menunggang basikal lajak dalam keadaan berbahaya.

“Selepas menahan semua remaja berkenaan, ibu bapa mereka dipanggil untuk sesi kaunseling bahaya serta risiko menunggang basikal lajak dan diberikan amaran keras supaya tidak mengulangi aktiviti sama pada masa akan datang.

"Semua basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 5:34 PM