SEBAHAGIAN basikal lajak yang disita. FOTO/ Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN basikal lajak yang disita. FOTO/ Ihsan PDRM
Fardy Bungga


LAGAK sekumpulan 31 remaja geng basikal lajak yang menunjukkan ‘aksi ngeri’ mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Jalan Pohon Batu Pancur Hitam, Kampung Pohon Batu, Labuan, semalam.

Operasi jam 12.20 tengah hari itu dijalankan berdasarkan aduan orang awam yang menyuarakan kebimbangan berhubung aktiviti basikal lajak di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, berdasarkan aduan itu, polis menjalankan risikan selama seminggu dan mendapati wujud aktiviti basikal lajak di kawasan itu.

Aktiviti berkenaan bukan saja berbahaya kepada kumpulan remaja terbabit tetapi juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Hasil operasi itu, seramai 31 remaja berjaya ditahan bersama basikal lajak. Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Wilayah Persekutuan Labuan.

“Polis turut memanggil ibu bapa remaja yang terbabit untuk proses penyerahan anak masing-masing selepas proses dokumentasi dan saman dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, sejumlah 31 keping saman mengikut kesalahan Peraturan 42 (1)(a) LN166gh/59 kaedah lalu lintas 1959-042 (1)(a) basikal tanpa brek dan loceng.

Katanya, semua remaja berkenaan diberi nasihat supaya tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak berfaedah itu manakala basikal lajak mereka juga disita untuk tindakan selanjutnya.

“Kebanyakan remaja yang ditahan masih bersekolah dan polis akan memantau kawasan berkenaan untuk memastikan tiada aktiviti berbahaya itu dilakukan di kawasan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 1:35 PM