Dr Nik Mohd Azlan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Salihah di Kampung Kubang Keranji, Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Dr Nik Mohd Azlan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Salihah di Kampung Kubang Keranji, Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

KESUKARAN ibu tunggal membesarkan enam orang anak termasuk seorang menghidap Cerebral Palsy (CP) mendapat perhatian apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menghulurkan sumbangan RM2,000, hari ini.

Sumbangan disampaikan Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi kepada Salihah Harapan Abdullah, 37, di rumah wanita itu di Kampung Kubang Keranji, Kota Bharu.

Salihah berkata, dia sangat bersyukur menerima bantuan itu atas keprihatinan MAIK terhadap penderitaan keluarganya.

“Sumbangan ini akan saya gunakan untuk membeli barang keperluan tiga anak (Mohd Danish Hakim Mohd Zailani, 7, Mohd Nazrin, 10, dan Mohd Haris, 14) yang akan memulakan sesi persekolahan, awal tahun depan.

“Pada masa sama, anak sulung (Rayhani,18) pula akan mendaftar di Kolej Komuniti Tanah Merah dalam pengkhususan Sijil Pastri, November lalu juga memerlukan wang perbelanjaan,” katanya.

Bagi menampung perbelanjaan keluarga, Salihah turut berniaga sehingga lewat malam bersama kakaknya.

“Sebelum ini, kedai makan saya beroperasi dari 6 pagi hingga 3 petang, namun sejak lima hari lalu, saya dan kakak berniaga sehingga 12 tengah malam untuk cari duit lebih,” katanya.

Harian Metro pada 24 Ogos lalu melaporkan keperitan hidup ibu tunggal itu yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas berpisah dengan bekas suami sejak empat tahun lalu.

Bagi menyara keluarga dan anaknya termasuk Natasha, 10, yang menghidap CP, dia membantu kakaknya di kedai makan.

Sementara itu, Nik Mohd Azlan berharap sumbangan dihulurkan MAIK dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

“Keluarga ini mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

“Namun, sekiranya ibu tunggal ini memerlukan apa-apa bantuan kecemasan termasuk keperluan persekolahan anak-anaknya, kami sedia mempertimbangkan bantuan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 11:28 AM