ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang terjatuh dari tingkat 12 kondominium disewanya. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang terjatuh dari tingkat 12 kondominium disewanya. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI maut selepas jatuh dari tingkat 12 kondominium disewanya dekat Stulang Laut di Johor Bahru, awal pagi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Choong Kin Onn, 32, ditemui tersangkut di koridor tingkat empat bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima maklumat menerusi panggilan dibuat pengawal keselamatan kondominium ke Pusat Kawalan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai jatuh dari tingkat 12 bangunan kondominium itu dan tersangkut di koridor tingkat empat bangunan.

“Lelaki itu menyewa di tingkat 12 dan dipercayai ada masalah dengan teman wanitanya.

“Siasatan polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya,” katanya.

Menurut beliau, mayat lelaki yang beralamat di Jalan Pasar, Ipoh, Perak itu berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan maut oleh pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Katanya, mayat dibawa ke HSA untuk bedah siasat.

“Siasatan dan tindakan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, seramai 11 anggota bomba dengan satu jentera dan satu EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan mengeluarkan mayat lelaki berkenaan.

Pegawai Operasi Lasidin Nariano berkata, mayat lelaki itu berjaya dikeluarkan melalui sebuah rumah kosong dalam masa 45 minit.

“Kita menyerahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya dan punca kematian serta kronologi kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi kemudian ditamatkan pada 3.08 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 10:16 AM