Siti Rohana Idris

Tumpat: Benteng sungai sepanjang 2.8 kilometer (km) dari Pasir Pekan sehingga Palekbang di sini, dijangka mampu menghalang fenomena hakisan tebing sehingga tempoh 30 tahun akan datang.

Timbalan Jurutera Projek, Unit Pelaksana Projek Persekutuan Kelantan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia Ir Ts Wan Zaidi Wan Mahamood berkata, projek itu adalah antara tiga komponen yang terdapat dalam Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1.

Menurutnya, projek yang dibina yang dijangka siap pada April tahun hadapan itu adalah untuk mengukuhkan benteng sungai yang sedia ada bagi menghalang hakisan lebih teruk berlaku.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada beberapa isu termasuk pemilikan tanah yang mana kerja pengukuhan benteng itu sekarang bergerak selari dengan perkara berkenaan.

"Kerja pengukuhan benteng itu merangkumi pemasangan 'geotextile' dengan batu amour di sepanjang kawasan projek bagi mengukuh dan menstabilkan tebing untuk mengelakkan lebih banyak hakisan berlaku di tebing sungai.

"Untuk skop tebatan banjir biasanya reka bentuk ban banjir menggunakan rekaan 50 kiraan kala kembali (ARI), bagaimanapun bagi pelaksanaan kerja di Pasir Pekan ke Palekbang menggunakan kaedah 'slope protection' iaitu di bawah skop 'living river' yang dapat mengekalkan rizab sungai dan mengukuhkan tebing sedia ada," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BENTENG sungai sepanjang 2.8 km dari Pasir Pekan sehingga Palekbang dijangka mampu menghalang fenomena hakisan tebing sehingga tempoh 30 tahun akan datang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BENTENG sungai sepanjang 2.8 km dari Pasir Pekan sehingga Palekbang dijangka mampu menghalang fenomena hakisan tebing sehingga tempoh 30 tahun akan datang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Wan Zaidi berkata, projek pengukuhan benteng itu adalah di bawah skop 'living river' dalam PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 selain dua lagi komponen iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan Saliran Mesra Alam.

Menurutnya, secara keseluruhan kos pembinaan ketiga komponen itu mencecah RM400 juta menerusi peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Bagi kerja pembinaan di bawah skop RTB yang bermula dari Palekbang ke Kampung Kok Majid, Wan Zaidi berkata, ia berjalan dengan baik di mana terdapat satu 'river gate' dengan dua pintu yang hampir siap pembinaannya.

"Pembinaan projek di bawah skop RTB adalah pada jajaran sama dan kedudukan bersebelahan dengan kerja pengukuhan tebing di Pasir Pekan.

"Ban tanah dan dinding konkrit akan dibina untuk mengurangkan impak banjir yang berlaku di Sungai Kelantan dan secara keseluruhan tiga komponen di bawah PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 ini membabitkan kos sekitar RM400 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 3:09 PM