Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Projek tebatan banjir fasa dua yang membabitkan kos RM1.3 bilion mampu menyelesaikan masalah bencana itu di dua daerah di Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek berkenaan adalah bagi penyelesaian jangka panjang di tiga kawasan iaitu Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Katanya, fasa pertama projek sudah diluluskan dengan kos lebih RM600 juta dan kini Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) sedang mengemukakan cadangan untuk fasa kedua.

"Fasa kedua projek adalah untuk penyelesaian keseluruhan yang berjumlah RM1.3 bilion dan perkara itu sedang diteliti untuk mendapatkan bajet.

"Sekiranya bajet lulus untuk projek berkenaan, masalah banjir di tiga kawasan membabitkan dua daerah iaitu Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Kasa Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Media sebelum ini melaporkan, projek tebatan banjir fasa satu di Kelantan membabitkan kos RM656 juta dijangka siap pada 2024, membabitkan jalan dari Pengkalan Kubor ke Sungai Lanchang, Pasir Mas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 7:38 PM