HAMIM menunjukkan projek RMK10   menyiapkan  kerja penstabilan Sungai Golok.
HAMIM menunjukkan projek RMK10 menyiapkan kerja penstabilan Sungai Golok.
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Muhamaad Razis Ismail

Kuala Lumpur: Kerajaan meluluskan peruntukan RM572 juta bagi melaksanakan projek di bawah program Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 yang bermula tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) itu merangkumi tiga objektif utama iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 1, ‘Living River’ dan saliran mesra alam.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri berkata, pelaksanaan projek itu membabitkan lima komponen utama, antaranya pembinaan tebing penghalang ombak (levee) sejauh tiga kilometer (km) dari Kampung Tikat ke Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu dan ‘levee’ 5.6 km dari Kampung Palekbang ke Kampung Kok Majid, Tumpat.

“Projek itu turut membabitkan pembinaan tebing penghalang banjir sepanjang 1.4km di Kampung Laut (Tumpat) serta pengerukan (pengorekan) muara Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu.

“Selain itu, menerusi projek berkenaan, sistem saliran utama Istana Kota Lama juga akan dinaik taraf,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan projek PLSB melangkau sehingga Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) dan memerlukan peruntukan keseluruhan RM9 bilion.

Beliau berkata, projek pembangunan PLSB Sungai Kelantan dimulakan dengan pelaksanaan kajian oleh perunding dan ia bermula sejak November 2015 dan dijangka siap penghujung tahun ini.

“Ia kemudian disusuli pelaksanaan PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 yang diluluskan peruntukan RM572 juta.

“Berdasarkan perancangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), skop kerja bagi pembinaan Empangan Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir termasuk di dalam fasa ketiga bergantung kepada peruntukan diluluskan secara berperingkat,” katanya.

Tambahnya, menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), kerajaan menyiapkan kerja penstabilan Sungai Golok dengan struktur tebing penghalang banjir sepanjang 50.3km yang menelan belanja RM120 juta.

Beliau berkata, projek untuk memelihara dan mengekalkan sempadan negara di sepanjang Sungai Golok termasuk penstabilan tebing itu yang siap sepenuhnya tahun lalu.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM300 juta bagi projek PLSB Sungai Golok Fasa Satu untuk dilaksanakan bermula tahun ini sehingga tahun 2020.

“Ia membabitkan kerja mitigasi banjir melalui pembinaan ban, menaik taraf sistem saliran dan pembinaan struktur pintu kawalan.

“Bagaimanapun, projek itu bersambung ke RMK seterusnya bagi pelaksanaan penyelesaian secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamim berkata, Sistem Penyeliaan Kawalan dan Perolehan Data (SCADA) bernilai RM4.86 juta yang tidak dapat digunakan sebelum ini sehingga dibangkitkan dalam laporan Audit Negara, baru-baru ini dibaiki.

Menurutnya, ketika bencana banjir terburuk melanda Kelantan pada 2014, sistem berkenaan mengalami kerosakan menyebabkan bacaan aras air tidak dapat dikesan dan pintu air gagal dikawal secara automatik.

“SCADA berfungsi untuk membuka dan menutup pintu air secara automatik di Sungai Keladi yang mengawal aliran ke Sungai Kelantan.

“Selepas beberapa kerja penggantian dan pembaikan komponen yang rosak, sistem itu kini kembali berfungsi seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 10:04 AM