Raja Noraina Raja Rahim


PEMANDU bas dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik Seremban, hari ini, atas sembilan pertuduhan memandu secara melulu dan tidak cermat sehingga menyebabkan seorang maut serta lapan cedera, Mei lalu.

Tertuduh, Othman Iberahim, 51, yang berkerusi roda bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Mengikut pertuduhan pertama, Othman sebagai pemandu bas henti-henti didakwa memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, maut.

Kejadian berlaku di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Nilai pada jam 3.30 petang, 23 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, berdasarkan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 43(1) akta sama, Othman didakwa memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kecederaan kepada lapan penumpang di lokasi dan masa yang sama.

Mangsa ialah Iman Danial Abdullah, Nur Aina Syazwani Nazri Ismail , Nurin Ainun Nabilah Fauji, Nurul Farah Izzati Mohd Nor dan Nur Anis Nabilah Mohd Faizal masing-masing berusia 17 tahun, R Mahendran, 14; R Janagan, 16; serta K Sharveswary, 15.

OTHMAN dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik Seremban atas sembilan pertuduhan memandu secara cuai. FOTO Iqmal Haqim Rosman
OTHMAN dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik Seremban atas sembilan pertuduhan memandu secara cuai. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh juga dipenjara sehingga 14 bulan serta lesen memandu dicatat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rahimah Abd Majid dan Sharifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon ikat jamin kerana perlu menerima rawatan susulan akibat patah tumit kaki, selain merayu jaminan paling rendah kerana isteri tidak bekerja dan perlu menanggung enam anak termasuk dua yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi semua pertuduhan itu dan menetapkan 19 Julai depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Harian Metro pada 24 Mei lalu melaporkan, seorang pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang maut manakala 24 penumpang cedera apabila bas dinaiki terbabit kemalangan berhampiran Bukit Tangga.

Bas dipercayai hilang kawalan dan terbabit kemalangan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-trail sebelum terbalik di kaki bukit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 3:08 PM