Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Lelaki warga emas didakwa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Lim Hon Koi, 72, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dari Mahkamah Majistret Kampar.

Mengikut pertuduhan, Hon Koi didakwa mengelar leher isterinya, Chan Moy, 74, sehingga mengakibatkan kematian mangsa.

Tertuduh melakukan kesalahan berkenaan di dalam bilik tingkat bawah rumah di Taman Desa Cahaya, Gopeng antara 8 malam 8 Ogos sehingga 7.30 pagi 9 Ogos lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

SESI pendakwaan terhadap tertuduh dilaksanakan Mahkamah Majistret Kampar di HRPB. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SESI pendakwaan terhadap tertuduh dilaksanakan Mahkamah Majistret Kampar di HRPB. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 September hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan kimia dan toksikologi.

Difahamkan, tertuduh ketika ini dalam tempoh rawatan kerana mengalami penyakit radang usus dan sesi pendakwaan Mahkamah dilaksanakan di wad hospital berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 1:34 PM