Anggota PPAD Alor Gajah berjaya menyelamatkan babi hutan yang jatuh ke dalam longkang di Jalan Belatuk Mas, Durian Tunggal.FOTO APM Alor Gajah.
Anggota PPAD Alor Gajah berjaya menyelamatkan babi hutan yang jatuh ke dalam longkang di Jalan Belatuk Mas, Durian Tunggal.FOTO APM Alor Gajah.
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Khidmat ditagih untuk mengeluarkan babi hutan yang terperangkap di dalam longkang.

Namun demi tugas, anggota Pasukan Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah tetap hadir ke lokasi di Jalan Belatok Mas di sini, selepas dihubungi penduduk setempat.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8 pagi tadi, sebelum empat anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat seekor babi hutan seberat kira-kira 20 kilogram berada di dalam longkang rumah penduduk.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan babi hutan yang terperosok di dalam longkang itu.

"Babi berkenaan dipercayai datang berkumpulan dari arah semak berhampiran untuk mencari makan namun terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

"Walaupun ada menganggap kes ini remeh namun kami perlu bertindak untuk keselamatan awam," katanya.

Sehubungan itu, tindakan penduduk yang membuat aduan amat dipuji kerana boleh menyelamatkan nyawa orang ramai berikutan haiwan liar berkenaan boleh menyerang sesiapa sahaja terutama pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 2:11 PM