Keadaan jalan di belakang rumah penduduk yang terjejas. FOTO Mohd Shukor Amin
Keadaan jalan di belakang rumah penduduk yang terjejas. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin


MAJLIS Daerah Sabak Bernam (MDSB) memberi jaminan kontraktor yang menjalankan kerja penurapan jalan dan membaik pulih longkang di belakang Taman Serendah di Sabak Bernam di sini, akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan yang dialami penduduk.

Minggu lalu, Harian Metro melaporkan, lima penghuni rumah teres setingkat di taman perumahan itu hidup dalam kebimbangan apabila lantai dan dinding kediaman mereka mengalami keretakan teruk.

Ia didakwa berpunca daripada kerja penurapan jalan dan baik pulih longkang yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Setiausaha MDSB Awaluddin Zakaria berkata, hasil penelitian pihaknya mendapati kesan keretakan bukan berlaku pada struktur utama namun membabitkan sambungan tambahan rumah penduduk.

“Semua keretakan pada sambungan rumah itu akan dilaksanakan dengan sempurna oleh pihak kontraktor berkaitan.

“Kerja penggantian longkang dan pengukuhan struktur tanah akan segera dilakukan bagi mengelak pergerakan tanah daripada terus berlaku hingga mengakibatkan keretakan yang lebih teruk,” katanya, tadi.

Menurut beliau, kerja membaik pulih longkang di beberapa rumah berkaitan masih tidak dijalankan berikutan retakan sedia ada.

“Bagaimanapun, ia akan tetap dijalankan dengan mengorek longkang secara lebih berwaspada bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 5:00 PM