TERTUDUH (tengah, baju kelabu) mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendera anak perempuannya. Gambar Ihsan pembaca
TERTUDUH (tengah, baju kelabu) mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendera anak perempuannya. Gambar Ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail


BURUH dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tuduhan mendera anak perempuannya berusia lapan tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Safizam Mustapha, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menganiaya hingga menyebabkan anak perempuannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi di rumah di Kampung Terap Banggu, Kota Bharu antara 13 November hingga 18 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama dengan penyangkut baju, pisau dan puntung rokok pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro pada 24 November lalu melaporkan kanak-kanak perempuan bukan saja dicucuh api rokok pada kaki, malah turut dipukul dan ditoreh dengan pisau pada tangan kanan oleh bapanya hanya kerana memiliki wajah mirip ibu.

Itu nasib menimpa kanak-kanak itu selepas dipercayai dideranya akibat dendam terhadap bekas isterinya.

Kejadian diketahui ibu mangsa pada hari sama menerusi aplikasi WhatsApp dihantar bekas adik ipar yang meminta segera mengambil anaknya itu.

Berita berkaitan:

Hanya kerana anak seiras bekas isteri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 8:09 PM