Pihak berkuasa bersama sebahagian penagih yang ditahan. FOTO Ihsan AADK.
Pihak berkuasa bersama sebahagian penagih yang ditahan. FOTO Ihsan AADK.
Mohd Azam Shah Yaacob


AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 70 penagih dadah pada operasi diadakan sekitar Johor jam 3 pagi, hari ini.

Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan RELA membabitkan serbuan di Kampung Ubi di Majidee, Danga Bay serta Pasir Gudang.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Malaysia Suhaimi Abu Bakar berkata, operasi kira-kira 10 jam itu dibuat berikutan aduan penduduk mengenai aktiviti penagihan dadah di kawasan terbabit.

“Hasil risikan serta intipan mendapati kawasan berkenaan menjadi lokasi tumpuan penagih dadah keluar masuk.

“Ia turut menjadi tumpuan penagih dari luar kawasan untuk melepaskan gian,” katanya pada kenyataan.

Penagih ditahan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 5:16 PM