ANGGOTA  AADK Besut memeriksa lelaki yang ditemui tinggal dalam kelambu belakang rumah dalam Operasi Cegah di Kampung Kerandang kira-kira jam 5.45 pagi semalam-Insan AADK Besut.
ANGGOTA AADK Besut memeriksa lelaki yang ditemui tinggal dalam kelambu belakang rumah dalam Operasi Cegah di Kampung Kerandang kira-kira jam 5.45 pagi semalam-Insan AADK Besut.
Nurul Fatihah Sulaini


PENAGIH dadah yang ditahan memberi alasan tidur dalam kelambu di belakang rumahnya di Kampung Kerandang, Jertih demi untuk melepaskan gian tanpa gangguan sejak dua tahun lalu.

Dalam kejadian 5.45 pagi semalam, lelaki berusia 41 tahun itu tiada di rumah ketika anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan serbuan di rumahnya.

Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui suspek sedang tidur dalam kelambu kira-kira 20 meter dalam belukar di belakang rumahnya.

“Lelaki itu hanya akan naik ke rumah didiami ibu dan adik perempuannya yang sudah berkahwin untuk makan dan akan kembali semula ke ‘port’nya.

“Kita percaya tujuan dia tidak tinggal di dalam rumah untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa jika melakukan serbuan di rumahnya,” katanya.

Suspek terbabit antara lima individu yang ditahan dalam Operasi Cegah/SHARP AADK Besut diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan (Operasi) AADK Besut, Ahmad Ismail Basyir Baihaqi Abdul Wahab bersama lapan anggota.

Menurutnya, operasi bermula 2 pagi tertumpu di kawasan Hulu Besut, Jertih dan Kuala Besut.

Katanya, mereka yang ditahan berusia 20 hingga 45 tahun dan saringan ujian air kencing mendapati kesemuanya positif methamphetamine serta opiat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.

Sementara itu, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Daerah Besut Raja Norsyuzianna Syakila Raja Mamat kepada kelima-lima mereka selama 14 hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 3:18 PM