AI Cheng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
AI Cheng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


PENGARAH syarikat elektronik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan memiliki 4,540 dekoder televisyen digital yang tidak mempunyai kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tahun lalu.

Tertuduh, Daisy Lim Ai Cheng, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Mohammad Khalid Ab Karim.

Ai Cheng didakwa memiliki 4,540 unit dekoder untuk dijual di Wisma Thunderflash, No 8, Jalan Mutiara 6, Taman Perindustrian Plentong, dekat sini pada jam 3 petang pada 6 Disember 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 244(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang dibacakan bersama Peraturan 16(1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan Peraturan 16(3) peraturan-peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan sama.

Dia didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan Peraturan 16(3) peraturan-peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan sama.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaraya, Norhani Mohamad Adzhar manakala Ai Cheng diwakili peguambela, B Subashini.

Kehadiran Ai Cheng turut menarik perhatian ramai berikutan dia menggunakan penutup mulut dan hidung serta berselendang bagi menutup wajahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:18 PM