Mohd Hasbi Sidek


WANITA warga emas sesak nafas dan dibawa ke hospital selepas rumahnya di Jalan 7/18, Seksyen 7, Petaling Jaya, terbakar pada 9 malam hari ini.

Rumah teres setingkat itu terbakar 80 peratus sebelum berjaya dikawal pasukan bomba.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.03 malam mengenai kejadian berkenaan.

"Seramai 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7, Petaling Jaya, dan Damansara dengan tiga jentera bergegas ke lokasi untuk operasi pemadaman.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah teres setingkat yang terbakar 80 peratus pada bahagian ruang tamu dan bilik serta bahagian bumbung," katanya.

Beliau berkata, seorang wanita warga emas sesak nafas akibat terhidu asap tebal diselamatkan anggota bomba sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut.

"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya jam 9.36 malam. Tiada mangsa lain yang cedera dalam kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 11:47 PM