TANGKAP layar video tular di media sosial
TANGKAP layar video tular di media sosial
Baharom Bakar


Kuala Nerus: Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) menyiasat kes keracunan makanan membabitkan lima mangsa selepas memakan kuih yang dibeli di sebuah pasar di Marang, semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya mengambil maklum isu keracunan makanan membabitkan lima mangsa yang ditularkan melalui media sosial sejak Isnin lalu.

Katanya, pihaknya melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kes itu sebelum tindakan lanjut dilakukan.

"JKNT ada mengesan video yang tular mengenai kes keracunan makanan, tetapi siasatan secara menyeluruh sedang dilakukan.

"Berdasarkan maklumat awal, ada lima mangsa dengan empat daripadanya dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut," katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam ke-dua di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, JKNT masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Terdahulu tular video di media sosial daripada seorang pengguna yang mendakwa isteri dan anaknya keracunan makanan selepas memakan sejenis kuih.

Lelaki itu mendakwa, kejadian berlaku Ahad lalu apabila isterinya dan dua anaknya muntah, mulut berbuih dan cirit-birit, selepas makan kuih yang dibeli di pasar di daerah Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 4:22 PM