Pengerusi Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Aixin Malaysia Datuk Fam Chee Way (kiri) bersama barangan yang disumbangkan kepada mangsa banjir.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Aixin Malaysia Datuk Fam Chee Way (kiri) bersama barangan yang disumbangkan kepada mangsa banjir.
Saipul Adli Mohamad


PENDUDUK di Labuh Banting, Tasek Gelugor boleh menarik nafas lega apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Johor turut membantu mereka mendepani pasca banjir dengan sumbangan pelbagai keperluan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Aixin Malaysia Datuk Fam Chee Way berkata, pihaknya menghantar kira-kira lima tan barangan keperluan bagi meringankan beban penduduk yang menjadi mangsa banjir di kawasan berkenaan dan sumbangan itu sebagai merealisasikan semangat 1Malaysia dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Apatah lagi dengan kejadian bencana seumpama ini, kita perlu berganding bahu dan bersama-sama memberi sumbangan untuk membantu meringankan beban mangsa banjir.

“Ini adalah lokasi keenam kami kunjungi sejak Isnin lalu di sekitar Pulau Pinang dengan sokongan Pengerusi MCA negeri Datuk Tan Teik Cheng dan Ketua Pemuda MCA negeri Datuk Michael Lee,” katanya.

Fam berkata, barang disumbangkan termasuk beras, tilam, selimut, bantal, tuala, air mineral, penyapu, bahan pembersih lantai, minyak masak serta pelbagai makanan kering selain pelbagai ubat luaran bagi merawat luka kecil untuk digunakan penduduk.

Beliau berkata, persatuan itu turut membawa ahli mereka dan bergabung dengan anggota skuad bantuan krisis MCA negeri mengagihkan barangan keperluan bagi pasca banjir dan usaha itu akan diteruskan bagi meringankan beban penduduk di kawasan terjejas akibat banjir.

“Semangat bantu membantu ini perlu kita tanamkan dalam jiwa generasi hari ini kerana ia adalah intipati kepada keharmonian yang menjadi tunjang kewujudan Malaysia sejak dulu lagi.

“Malah, ada antara ahli kami yang turut bersama-sama membantu ini dalam kalangan sukarelawan dari golongan remaja di Johor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 9:12 PM