Polis mengesan empat lelaki dipercayai terbabit 54 kes samun bersenjata di sekitar Lembah Klang iaitu Muhammad Arif Amran (atas, kiri), Doddy Eddy (atas, kanan), Mohd Aidee Fatehah Md Akhir (bawah, kiri) dan Mohd Fairus Hassan (bawah, kanan). FOTO ihsan Polis
Polis mengesan empat lelaki dipercayai terbabit 54 kes samun bersenjata di sekitar Lembah Klang iaitu Muhammad Arif Amran (atas, kiri), Doddy Eddy (atas, kanan), Mohd Aidee Fatehah Md Akhir (bawah, kiri) dan Mohd Fairus Hassan (bawah, kanan). FOTO ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS masih mengesan empat penjenayah ganas yang menganggotai kumpulan Emi Keju dan dipercayai terbabit 54 kes samun bersenjata di sekitar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, empat individu berkenaan masih bebas dan dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan.

“Semua mereka dipercayai terbabit dengan kejadian jenayah terancang di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak sejak tahun 2013.

“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu-individu ini boleh menghubungi atau terus ke mana-mana balai polis yang berdekatan,”katanya.

Fadzil berkata, polis sedang mengesan individu bernama Mohd Fairus Hassan atau dikenali Lit atau Panjang, 32; Mohd Aidee Fatehah Md Akhir atau dikenali sebagai Fatesh,32.

“Selain itu, turut dikesan ialah Doddy Eddy atau dikenali sebagai Alan, 22, dan Muhammad Arif Amran atau dikenali sebagai Capang berusia 22 tahun,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu 19 ahli kumpulan Geng Emi Keju didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menganggotai dan membantu kumpulan jenayah terancang.

Semua lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun itu masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Dalam prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kumpulan penjenayah berbahaya dan paling dikehendaki dikenali sebagai Geng Emi Keju terbabit dengan 54 kes samun bersenjata membabitkan kerugian lebih RM4 juta sejak 2013 akhirnya berjaya ditumpaskan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:46 PM