GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang lagi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Ia menjadikan seramai 14 individu didakwa menganggotai kumpulan itu selepas 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa pada 22 Januari lalu manakala dua individu didakwa pada 1 Mac lalu.

Tertuduh ke-14, Mohd Fikrie Isme, 28, didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Mohd Fikrie dituduh menganggotai Geng Upik di Kota Kinabalu antara 2022 hingga 12 Oktober 2023.

Dia kini menjalani tahanan berkaitan dadah di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor, selama tiga tahun sejak 9 Disember 2023.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Lina Hanini Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim membenarkan permohonan DPP bagi memindahkan kes Mohd Fikrie ke Mahkamah Tinggi bersama 13 tertuduh terdahulu.

Mereka ialah Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh@Zaini, 45; Mohd Fauzie Rablin, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Datuk Maslan Sani, 41; Nelson Yen Yee Chung, 46; Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Fazrul Bahar, 32; Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud, 41, dan Mahathir Jibarail, 49.

Dua lagi tertuduh ialah Norsyafilah Pawawoi, 28, yang juga seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 2018 atas kesalahan mengedar dadah dan Zulkahar Dusing, 29.

Semua mereka akan dihadapkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada jam 2 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 11:42 AM