FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


MAHKAMAH Tinggi Alor Setar, hari ini melepas tanpa membebaskan 30 ahli Geng Pak Su termasuk ketuanya Johari Ariffin, 36, yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang di Kubang Pasu sejak tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Chan Jit Li memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad yang memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pak Su bermula pada 1 Januari 2015 hingga 30 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.

Mereka terdiri Rosidi Aziz, 36, Norazif Ahmad, 38, Shahadan Salim, 39, Fairus Hafiz Mohd Yusoff, 25, M Murugan, 37, Rosli Ariffin, 41, Sariman Idris, 43, dan Mohd Norhizam Zamzuri, 30, Faizol Sobri Romli, 30, dan Amirul Ashraf Hussain, 21.

Selain itu, Muhamad Ashraf Aziz, 24, Faizal Azlyshah Romli, 34, Aziz Othman, 57, dan Muhamad Asrun Amir Hussain, 24, Muhammad Luqman Hakim Zainal, 19, Nur Arif Norzaidi, 20, Muhamad Amir Daud, 23, Norhasrul Izwan Noraini, 34, Joni Yakub, 38, Zamzuri Aziz, 23, Shamsol Long, 46, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 22, dan Mohamad Rozaidi Sabu, 27.

Enam lagi yang dilepas tanpa dibebaskan adalah Jamal Muhamad Syafian Jamaludin, 24, Mazlan Ahmad, 48, Akmal Firdaus Ahmad, 22, Mohd Shafiz Ibrahim, 29, Mohd Mizan Ismail, 39, dan Mohd Azhar Muei, 20.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kesemua mereka termasuk Johari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar secara berasingan pada 26 September, 9 Oktober dan 2 November 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 5:14 PM