Nor Azura Abdul Jalil

Kajang: Seramai 12 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng 360 Devan.

Mereka ialah D Yasotharan, 37, S Manimaran, 44, C Murugan, 41, L Lengas Seperan, 48, D Sivanantha, 40, ST Anthony Balan, 40, S Maran, 35, M Sathia Tamil Siva, 24, P Sures, 45, P Murugan, 28, B Ravindran, 25, dan D R Yasothanaraj, 37.

Semua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Noridah Adam.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengikut pertuduhan, semua lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 360 Devan di MV Empayer Sdn Bhd, Jalan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, Cheras, di sini, antara 1 Januari 2015 hingga 14 April 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukummengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus dan Diar Isda Yazmin Ismail.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 5:47 AM
SEBAHAGIAN anggota Geng 360 Devan menaiki semula bas selepas dikenakan pertuduhan.
SEBAHAGIAN anggota Geng 360 Devan menaiki semula bas selepas dikenakan pertuduhan.
ANGGOTA polis  mengiringi 12 lelaki terbabit  ke  Mahkamah Sesyen Kajang.
ANGGOTA polis mengiringi 12 lelaki terbabit ke Mahkamah Sesyen Kajang.