Din menunjukkan barang dirampas menerusi penahanan beberapa individu pada sidang media berkenaan. Foto Nik Abdullah Omar
Din menunjukkan barang dirampas menerusi penahanan beberapa individu pada sidang media berkenaan. Foto Nik Abdullah Omar
Rosliza Mohamed


Empat individu disyaki pengedar dadah ditahan bersama dadah dianggarkan bernilai RM9,172 masing-masing di Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai pada Selasa dan semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, semua suspek berusia antara 36 hingga 42 tahun ditahan antara 6 petang hingga 9.50 malam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang suspek lelaki berusia 40-an bersama heroin anggaran RM2,030 di kawasan pekarangan kilang di Kuala Krai, 6 petang, Selasa lalu.

"Serbuan kedua, kita menahan dua suspek berusia 34 dan 36 tahun bersama empat biji pil kuda dan heroin seberat empat gram anggaran RM2,040 di Kampung Gong Tengah Belakang, Pengkalan Chepa, pada 9.30 malam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), hari ini.

Beliau berkata, serbuan ketiga pula menahan suspek berusia 40 tahun bersama 510 biji pil kuda bernilai RM5,100 di Kampung Liming, Bunut Susu, Pasir Mas, pada 7 malam semalam.

Katanya, dua daripada suspek didapati positif dadah dan mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan mendapati ada antara suspek bergiat aktif sejak tahun ini dan bekalan diambil dari negara jiran untuk pasaran kampung masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, Din berkata, enam suspek lagi ditahan kerana terbabit kes ragut, samun dan pecah rumah di Tanah Merah pada 16 Oktober lalu.

Katanya, semua suspek berusia lingkungan 30an ditahan di kawasan berasingan dan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 394 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, menerusi tangkapan itu juga, pihaknya merampas kereta jenis Perodua Kancil, dokumen penting dan sejumlah wang tunai.

"Semua yang ditahan juga positif dadah dan siasatan lanjut masih dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 2:54 PM