KAWASAN yang dilanda banjir di Kota Belud termasuk bulatan Jalan Bypass Kota Belud-Kota Marudu (kanan). FOTO Recqueal Raimi
KAWASAN yang dilanda banjir di Kota Belud termasuk bulatan Jalan Bypass Kota Belud-Kota Marudu (kanan). FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


JUMLAH mangsa banjir di Kota Belud meningkat dengan 459 orang daripada 169 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 pagi, hari ini berbanding 404 mangsa daripada 151 keluarga malam tadi.

Mereka ditempatkan di PPS di Dewan Tun Said dan Sekolah Menengah Agama Tun Said susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Katizah Rahaban, berkata peningkatan jumlah penduduk dipindah itu berikutan hujan dan cuaca tidak menentu sepanjang semalam sehingga banyak kawasan rendah dinaiki air.

Beliau berkata, setakat ini kawasan terjejas membabitkan 20 kampung sekitar daerah ini.

"Antara kampung berkenaan termasuk Kampung Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-Sadok, Sembirai, Lingkodon, Linau dan Lebak Moyoh.

"Selain itu, paras air di beberapa sungai utama seperti Sungai Kadamaian kini berada pada tahap amaran manakala Sungai Tampasak serta Sungai Abai di tahap bahaya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katizah berkata, pihaknya kini meluaskan operasi memindahkan mangsa di beberapa kampung yang terjejas dengan bantuan balai bomba berhampiran menggunakan enam bot penyelamat, tiga lori dan pacuan empat roda.

Beliau juga menasihatkan penduduk kampung yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya segera berpindah jika mendapat arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Hujan lebat dan angin kencang di barat dan utara Sabah bermula Selasa lalu disebabkan kesan sampingan Taufan Lan yang kini berada di timur Filipina dan dijangka berterusan hingga esok.

1-2) BULATAN Jalan Bypass Kota Belud-Kota Marudu dinaiki banjir. PIX Recqueal Raimi

3) KEADAAN banjir berhampiran Bulatan Jalan Bypass Kota Belud-Kota Marudu

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 11:15 AM