Sebahagian pengamal media yang menyertai Program Menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Media Kontinjen Pulau Pinang 2017 di Kelab Menembak Pulau Pinang, Jalan Kebun Bunga, Georgetown. FOTO Shanaz Fazlie Shahrizal
Sebahagian pengamal media yang menyertai Program Menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Media Kontinjen Pulau Pinang 2017 di Kelab Menembak Pulau Pinang, Jalan Kebun Bunga, Georgetown. FOTO Shanaz Fazlie Shahrizal
Rudy Syareme Sheriffudin

POLIS Pulau Pinang memuji semangat kesukanan dan sikap sporting ditunjukkan wakil media menerusi Program Menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Media 2017 di Kelab Menembak Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.

Ketua Polis negeri Datuk Chuah Ghee Lye berkata, komitmen ditunjukkan itu dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala dan persahabatan antara PDRM dan media kerana pihak media mempunyai kuasa serta pengaruh dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Beliau berkata, bak kata perpatah 'kuasa sebatang pen lebih tajam daripada sebilah pedang', akhbar turut sumber maklumat yang paling mudah didapati untuk ditatapi semua golongan masyarakat dan mampu memberi kesan terhadap proses sosialisasi di negara ini.

Katanya, peranan dimainkan media akan memberi implikasi sama ada kesan positif dan negatif selain berharap pihak media akan berhati-hati dan bertindak bijak melaporkan sebarang isu dengan mengelak daripada melaporkan berita keterlaluan.

"Kerapuhan isu dan pelanggaran etika kewartawanan akan menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem demokrasi dan media itu sendiri, malah saya yakin media dapat memainkan peranan jujur dan telus dalam menyampaikan berita.

"Setiap media perlu melaporkan berita yang mampu membentuk perpaduan bangsa dan integrasi nasional utuh biarpun kini terpaksa berdepan dengan masyarakat yang semakin kritis," katanya.

Hadir sama, Ketua Cawangan Khas negeri Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Hanapi Mohd Sani, Presiden Kelab Menembak Pulau Pinang Datuk Kenny Ong, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang Ahmad Zhafaran Mohamed Nasib dan Pengerusi Penang Press Club Teoh Boon Liang.

Sementara itu, lebih 100 pegawai polis dan wakil media pelbagai agensi itu bertanding dalam dua kategori iaitu Centre Fire Target dan Falling Plates (Jatuh Piring) Berkumpulan.

Kategori Centre Fire Target dimenangi Kenny Ong manakala jurugambar The Star Wan Mohizan Wan Hussein di tempat kedua dan ketiga, Mohd Izuwan Mohd Zaki dari Bernama TV.

Manakala kategori Falling Plates Berkumpulan dimenangi Kumpulan 1 dianggotai Chuah bersama Kenny, Ahmad Zhafaran dan wartawan Harian Metro, Rudy Syareme Sheriffudin, sekali gus pemenang membawa pulang plak khas dan sijil penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:39 PM