WAN Ahmad Najmuddin (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pengamal media pada  Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor.
WAN Ahmad Najmuddin (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pengamal media pada Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor.

Kota Tinggi: Polis Johor menyerahkan laporan berserta cadangan berhubung kes membabitkan aktiviti basikal lajak di negeri ini kepada Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, laporan itu diserahkan Selasa lalu bagi melakukan kajian berhubung aktiviti berkenaan.

“Saya dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Johor, Ahmad Asri Khalbi bahawa Menteri Besar mengarahkan Datuk Bandar Johor Bahru untuk membuat kajian terperinci ke atas laporan itu berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Mungkin juga akan diadakan taman rekreasi khas atau sebagainya... itu kita (polis) tak tahu. Kita sudah jalankan tugas kita,” katanya pada majlis Pertandingan Menembak Polis Johor bersama Media Johor di Lapang Sasar Clay Target REM, di sini, semalam.

Pertandingan menembak Polis Johor bersama Kelab Media Johor (KMJ) diadakan sempena sambutan Hari Polis ke-210 dan kali kedua diadakan sejak Wan Ahmad Najmuddin memegang jawatan Ketua Polis Johor.

Menurutnya, aktiviti menembak itu diadakan untuk merapatkan hubungan sedia ada antara polis dan media.

“Aktiviti ini untuk kita menjalinkan hubungan sedia ada, memang kita rapat, tetapi kita mahu lebih rapat lagi silaturrahim antara media dan polis di mana media selama ini memberikan kerjasama begitu mantap kepada Kontinjen Johor.

“Saya berharap menerusi program seperti ini membolehkan pihak media dan polis berinteraksi secara santai dan pengamal media dapat merasai bagaimana cara menembak,” katanya.

Pada acara semalam, Kategori Centre Fire (Polis) dimenangi Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Johor Superintendan Abd Wahad Tahir manakala tempat kedua dimenangi Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor Asisten Komisioner Nafisah Adam serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat di tempat ketiga.

Manakala Kategori Centre Fire (Media) pula juara milik Muhammad Izhan Md Yunus dari Unit Media Pejabat Menteri Besar, tempat kedua dimenangi Jurufoto BERNAMA, Shaifuldin Ahmad manakala tempat ketiga dimenangi wartawan Harian Metro, Izlaily Nurul Ain Hussein.

Kategori Falling Plate yang diadakan secara berkumpulan pula menyaksikan pasukan diketuai Wan Ahmad Najmuddin di tempat pertama, manakala pasukan diketuai Kamarul Zaman dan Nafisah masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 9:19 AM