Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI ditahan polis bersama dadah syabu bernilai RM3,500 dalam serbuan di kawasan hutan di Jalan Merapok di Lawas, petang semalam.

Dalam serbuan pada 4.30 petang itu, polis menahan lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai pengedar dadah, di sebuah pondok di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lawas terpaksa meredah hutan sejauh 10 kilometer untuk tiba di pondok berkenaan.

Menurutnya, intipan yang dijalankan menemui suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum dia ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan, syabu seberat 13.6 gram ditemui pada tubuhnya dan dibungkus dalam empat plastik lutsinar.

"Namun, pemeriksaan lanjut tidak menemui penagih di kawasan berkenaan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, pondok berkenaan dibina penagih jauh di dalam hutan kerana bimbang kegiatan mereka dapat dihidu polis.

Katanya, pondok berkenaan yang dibina sejak beberapa bulan lalu sering dikunjungi penagih untuk melepaskan gian kerana lokasinya jauh dari jalan utama.

"Suspek yang ditahan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas untuk siasatan lanjut dan saringan air kencing mendapatinya positif dadah.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Skesyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 4:14 PM