Abang Ahmad (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Awang Azmil Awang Ahmad.
Abang Ahmad (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Awang Azmil Awang Ahmad.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS tahan suami isteri dan rampas dadah juga pil khayal berjumlah lebih RM194,000 di apartmen di Muara Tabuan, Kuching, 4 petang semalam.

Serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, suspek lelaki berusia 45 tahun ditahan di parkir kereta apartmen berkenaan bersama satu beg galas.

“Pemeriksaan menemui syabu seberat 2.1 gram (g) dan 100 pil eramin 5 dalam beg galas.

“Pasukan serbuan kemudiannya dibawa suspek ke kediamannya dan di rumah itu, kami menahan isterinya, warga Indonesia berusia 40 tahun.

“Di bilik rumah itu, kami menemui syabu 611.7g, 140 pil ekstasi dan 650 pil eramin 5 disimpan dalam beberapa beg plastik,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Beliau berkata, suspek mengaku bergerak solo untuk menjual dadah terbabit kepada penagih di kawasan sekitar sejak tahun lalu.

Katanya, suspek menjual dadah secara bersemuka dan turut menggunakan kaedah pindahan akaun sebelum dadah diserahkan kepada penagih di lokasi tertentu.

“Suspek yang tidak bekerja menampung hidup dengan menjual dadah. Kami turut merampas Toyota Vios dan wang RM2,000 daripada suspek.

“Suami isteri itu direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 12:18 PM