DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petra Jaya: Polis tahan remaja lelaki bersama 35 penyedut minuman berisi dadah syabu di rumah di Jalan Astana di sini, semalam.

Serbuan kira-kira 3 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, dadah seberat 6.4 gram itu dianggarkan bernilai RM1,152 mengikut harga pasaran.

Menurutnya, polis turut merampas wang berjumlah RM445 dipercayai hasil jualan dadah kepada penagih di sekitar kawasan berkenaan.

"Hasil saringan daripada kencing yang dijalankan, suspek berusia 16 tahun yang masih bersekolah itu juga positif dadah amphetamine.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 12:30 PM