Suhaimi Zainol Abidin bersama isteri dan anaknya. FOTO Ihsan GRAB
Suhaimi Zainol Abidin bersama isteri dan anaknya. FOTO Ihsan GRAB
Zulfa Mohamad


KEMALANGAN tiga bulan lalu mengubah kehidupan seorang lelaki apabila dia tidak lagi mampu untuk menyara keluarga selepas tulang pinggulnya patah akibat menjadi mangsa langgar lari.

Suhaimi Zainol Abidin, 33, dari Kubang Ulu, Bukit Mertajam, hanya bergantung pada tongkat untuk berjalan dan sepatutnya dia menjalani pembedahan memasukkan skru bagi menggantikan tulang yang patah.

"Saya terbabit kemalangan dengan kereta ketika menunggang motosikal dekat Pokok Sena, Kepala Batas tetapi pemandu kereta berkenaan menghilangkan diri.

"Selepas kemalangan itu, saya tidak mampu bergerak dan melakukan sebarang kerja kerana tulang pinggul patah," katanya.

Isteri Suhaimi, Zaidatul Afiza Mohamad Salim, 25, pula tidak bekerja selain perlu menjaga anak mereka, Nor Dania Maisara, 2, yang lahir pra matang dan perlu dibawa ke hospital setiap bulan untuk rawatan.

Keluarga berkenaan hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM440 sebulan selain perlu keluar dari rumah pusaka didiami sebelum ini.

Menurut Suhaimi, sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi kini hanya tinggal di rumah selepas kemalangan.

Semalam, Suhaimi menerima sumbangan barangan makanan bernilai RM1,000 daripada Econsave Bukit Mertajam yang disampaikan pengurusnya, Thiyagarajan.

Turut hadir, ahli Persatuan Gerakan Amal Bersama (GRAB).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 4:31 PM