KEADAAN rumah yang dihuni ibu tunggal bersama lima anak. FOTO Siti Rohana Idris
KEADAAN rumah yang dihuni ibu tunggal bersama lima anak. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Nor Hidayatidayu Razali


IBU tunggal bersama lima anak berusia antara sembilan bulan hingga 11 tahun yang tinggal di rumah uzur di Kampung Paloh Pintu Geng, Kota Bharu, diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hari ini.

Kanak-kanak itu diserahkan kepada JKM untuk perlindungan manakala ibu diserahkan kepada polis kerana disyaki penagih dadah.

Ini berikutan keadaan rumah mereka yang uzur dan dipenuhi timbunan sampah termasuk pakaian yang tidak dibasuh.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, wanita itu bersama lima anak diserahkan kepada pihaknya pada 10.30 pagi, hari ini.

Katanya, lima kanak-kanak itu ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak JKM di Pengkalan Chepa.

"Ibu kepada kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak polis untuk saringan ujian air kencing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibu tunggal berkenaan, 34, bersama lima anaknya tinggal di rumah itu sejak lima tahun lalu manakala anak sulungnya, 13, hasil perkongsian hidup dengan suami pertama tinggal bersama ibunya di Sungai Besi, Kuala Lumpur sejak kecil.

Ibu tunggal itu berkata, dia tinggal di rumah itu bersama lima anak yang tidak bersekolah kerana tidak mampu dan semua surat beranak dipegang bekas suami kedua, 38, dan bekas suami ketiga, 37.

"Bekas suami ketiga tinggal di Kok Lanas meberi wang belanja sebanyak RM30 sehari yang dikirim melalui kawan atau dia akan datang sendiri," katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Pintu Geng.

Menurutnya, mereka tidak mampu menyewa kediaman lain kerana tiada wang dan bersyukur kerana dapat tinggal di rumah itu.

Katanya, penduduk kampung turut memberi sumbangan pakaian dan makanan kepadanya sekeluarga.

Keterangan gambar:

1.Keadaan rumah yang dihuni ibu tunggal bersama lima anak di Kampung Pintu Geng.

2.Faridah Yakob, 34, bersama lima anaknya di rumah sewa mereka.

3.Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Azman Adam.

Keadaan rumah yang dihuni ibu tunggal bersama lima anak di Kampung Pintu Geng.

Gambar Siti Rohana Idris

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 3:27 PM