NOOR Aslinda (tengah) bersama Nur Anis (kanan) Muhammad Aiman menunjukkan SUV Honda CRV mereka yang rosak akibat letupan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NOOR Aslinda (tengah) bersama Nur Anis (kanan) Muhammad Aiman menunjukkan SUV Honda CRV mereka yang rosak akibat letupan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Saya bersama dua anak berlari sejauh 50 meter untuk menyelamatkan diri apabila salah sebuah kereta yang berada di belakang kami terbakar sebelum meletup," kata Noor Asninda Zakaria.

Noor Asninda, 39, antara mangsa dalam kejadian sebuah kereta dipercayai membawa mercun bola meletup sehingga menyebabkan pemandunya terbunuh di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, dekat sini, petang semalam.

Menurutnya, dalam kejadian pada 5.38 petang itu, dia bersama dua anaknya, Nur Anis Syamimi Mahadi, 19, dan Muhammad Aiman, 15, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kijang selepas ke rumah ibunya di Pintu Geng.

Katanya yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV, ketika berhenti di lampu isyarat, dia terlihat di cermin sisi terdapat kereta di belakang mereka terbakar dan terus meletup.

"Ketika letupan itu, kami masih berada di dalam kereta dan bergegar keluar dalam keadaan kelam kabut serta berkabus disebabkan kepulan asap kerana bimbang kereta lain pula akan meletup.

"Ketika berlari itu Muhammad Aiman tidak berhenti menyebut Allahuakbar kerana terkejut dengan insiden secara tiba-tiba itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kijang, hari ini.

Noor Asninda berkata, dia menghubungi anak saudaranya, Fazren Arisa Suhaimi, 22, untuk memaklumkan insiden ini dan bersyukur mereka tidak cedera.

Bagaimanapun, katanya, dia mengalami kesukaran untuk tidur pada malam tadi disebabkan sakit badan selain masih teringat-ingat insiden letupan itu.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki maut dalam keadaan tragik selepas kenderaan dipandunya meletup di dipercayai akibat membawa mercun bola.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 7:50 PM