Zatul Iffah Zolkiply


POLIS Terengganu mendedahkan 50 lagi wajah individu dikehendaki kerana dipercayai terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan dan rogol sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, daripada jumlah itu, tiga daripadanya adik beradik dan seorang wanita dikenali sebagai Halimaton Saadiah Hussin, 27, dari Alor Lintang, Kampung Raja, Besut dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes mendatangkan cedera parah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK).

"Semua suspek yang diburu berusia antara 30 hingga 60 tahun dengan 34 daripadanya membabitkan daerah Besut.

"Wajah semua suspek ini akan dipaparkan di Facebook (FB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu bagi membolehkan orang ramai membantu sekiranya mempunyai maklumat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Fazlisyam berkata, dua suspek datang menyerah diri di Balai Polis Kemaman dan Balai Polis Besut manakala satu keluarga menghubungi Balai Polis Kuala Terengganu bagi memaklumkan lokasi anak mereka selepas polis menyiarkan wajah 30 individu dikehendaki, lima hari lalu.

Menurutnya, JSJ Terengganu mensasarkan untuk menyelesaikan kes menjelang tahun depan bagi menunjukkan komitmen terhadap arahan Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang mahu semua kes tertangguh dapat diselesaikan dengan segera.

"Setiap minggu, polis negeri ini akan mendedahkan wajah lebih 600 individu dikehendaki secara berperingkat di FB PDRM Terengganu bagi mendapatkan maklumat terkini daripada orang awam untuk membolehkan semua suspek ditahan," katanya.

Mengulas mengenai Op Cantas Khas membabitkan kerjasama JSJ dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri sejak Khamis lalu, seramai 30 individu dikehendaki polis berjaya ditahan.

Katanya, 10 daripadanya membabitkan kes jenayah manakala 20 lagi membabitkan kes dadah menerusi 64 serbuan yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 4:47 PM
Fazlisyam (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar individu yang dikehendaki polis pada sidang media di IPK Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
Fazlisyam (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar individu yang dikehendaki polis pada sidang media di IPK Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria