KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid menunjukkan suspek yang dikenali sebagai Alliman Hanafi, 25, dari Padang Nenas, Kuala Nerus. FOTO Ghazali Kori
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid menunjukkan suspek yang dikenali sebagai Alliman Hanafi, 25, dari Padang Nenas, Kuala Nerus. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


PERSELISIHAN faham dipercayai menjadi punca lelaki menetak rakannya dalam kejadian di Wakaf Tengah, Kuala Nerus, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 2.30 petang, mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sendiri, parah di tangan apabila ditetak dengan pedang selain turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badan akibat dipukul menggunakan batang besi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai urusan bank sebelum didatangi suspek yang memukulnya dengan besi.

Beliau berkata, pergaduhan itu berjaya dileraikan orang awam namun suspek yang tidak berpuas hati mencari mangsa di rumah sebelum menyerang mangsa menggunakan pedang.

"Suspek dipercayai bertindak sedemikian akibat salah faham apabila suspek mendakwa mangsa melaporkan perbuatan jenayahnya kepada pihak polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.

Fazlisyam berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa menerima 18 jahitan di tangan kiri dan tiga jahitan di kepala selain cedera di beberapa anggota badan.

"Kita sudah mengenal pasti identiti suspek yang dikenali sebagai Alliman Hanafi, 25, dari Padang Nenas, Kuala Nerus.

"Usaha memburu suspek giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diharapkan dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 7:21 PM