Anggota Bomba dan Penyelamat Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) melakukan pemeriksaan tahap gas klorin di kawasan rumah kosong di Kampung Tambak Paya, Ayer Molek. FOTO Rasul Azli Samad
Anggota Bomba dan Penyelamat Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) melakukan pemeriksaan tahap gas klorin di kawasan rumah kosong di Kampung Tambak Paya, Ayer Molek. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi


KURANG 12 jam selepas dibenarkan pulang ke rumah, kira-kira 250 penduduk Kampung Tambak Paya, Melaka, diarahkan mengosongkan kediaman mereka sekali lagi bagi kerja menggali semula tong silinder klorin bocor yang ditanam malam semalam.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat (Operasi) negeri Kamarulzaman Mohd Din berkata, penduduk diarahkan mengosongkan kediaman pada 5.30 petang, berikutan pihaknya terpaksa menggali semula tong silinder yang ditanam untuk diserahkan kepada pemilik bersama enam lagi tong yang ditemui berhampiran sebuah rumah kosong semalam.

Beliau berkata, penduduk diarahkan meninggalkan rumah sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan mereka terhidu bahan kimia itu.

"Mereka diminta berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tambak Paya sementara kerja menggali semula dan pemindahan dilakukan.

"Semua tong silinder klorin itu nanti akan dikembalikan semula kepada pemilik di sebuah kilang di Rawang, Selangor," katanya.

Beliau berkata, kerja menggali semula dan pemindahan itu dijangka selesai pada tengah malam ini.

Dalam kejadian 5.30 petang semalam, kira-kira 250 penduduk diarahkan mengosongkan kediaman atas faktor keselamatan.

Akibat kejadian itu, seramai 61 penduduk termasuk tiga anggota bomba dirawat di hospital masing-masing di Hospital Melaka dan Hospital Jasin, selepas mengalami sesak nafas.

Berita berkaitan

'Dah cam siapa buang bahan kimia'

4 anggota bomba sesak nafas

Sesak nafas terhidu bahan kimia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 8:40 PM