Aedy (duduk kanan) dan Amir Ahnaf (duduk dua dari kiri) bawa watak utama filem Kahar Kapla High Council.
Aedy (duduk kanan) dan Amir Ahnaf (duduk dua dari kiri) bawa watak utama filem Kahar Kapla High Council.
Zaara Talita


Petaling Jaya : Prekuel siri fenomena, Projek : High Council iaitu filem Kahar Kapla High Council bakal menampilkan Aedy Ashraf sebagai salah seorang teraju utama bersama Amir Ahnaf. 

Astro Shaw mengumumkan pemilihan Aedy membawakan watak Beja yang menjadi teka-teki sebelum ini dan pelakon itu turut menjalani uji bakat bagi membintangi filem berkenaan.

"Saya menjalani uji bakat dengan menghantar video kepada pihak produksi untuk penilaian. Tidak sangka saya dapat menjadi salah seorang pelakon utama. 

"Lebih dua bulan juga saya mengunci mulut dan tidak menjawab pertanyaan kawan-kawan mengenai projek terbaru yang bakal saya jayakan ini," katanya. 

Selain Aedy, bakat baru Sky Iskandar, Thompson Goh dan Khenobu turut diumumkan sebagai pelakon filem ini.

Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sambutan menggalakkan daripada peminat mencetuskan idea untuk menerbitkan filem ini.

"Selepas Astro Shaw mengumumkan penghasilan filem Kahar Kapla High Council awal tahun ini, kami sudah merangka strategi pemasaran dan publisiti khusus untuk memberi keterujaan kepada penonton dan peminat. 

"Rentetan daripada fenomena luar biasa siri Projek : High Council, kami mahu peminat turut terbabit dan menjadi sebahagian filem ini. 

"Inisiatif pertama adalah buat julung kali kami membuka peluang kepada peminat menerusi sesi uji bakat dan inisiatif kedua adalah memperkenalkan 'Lesen High Council'," katanya.

Pada bulan Mac lalu, sesi uji bakat pencarian watak Beja, Megat dan watak-watak lain diadakan untuk filem ini. 

Lebih 1,000 calon hadir dan atas sambutan menggalakkan, Astro Shaw membuat keputusan untuk memilih 90 individu daripada sesi tersebut bagi menjayakan watak-watak sokongan. 

Filem Kahar Kapla High Council dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini dan diarahkan oleh pengarah drama premium Projek : Anchor SPM, Razaisyam Rashid. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 11:07 PM