ANGGOTA bomba memadam kebakaran di kedai haiwan yang terbakar di Pasar  Chatuchak. FOTO Ihsan Pejabat Daerah Chatuchak.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di kedai haiwan yang terbakar di Pasar Chatuchak. FOTO Ihsan Pejabat Daerah Chatuchak.
Bernama-Dpa

Bangkok: Beratus-ratus haiwan mati dalam kebakaran yang melanda pasar Chatuchak di Bangkok awal pagi Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media tempatan.

Haiwan seperti ular, monyet, anjing, kucing, burung dan spesis eksotik lain turut mati dalam kejadian itu.

Kawasan Chatuchak, pasar yang menjual pelbagai jenis haiwan itu turut dikenali sebagai pasar Sri Somrat, menempatkan 118 gerai dan meliputi kawasan seluas 1,400 meter persegi.

Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran masih diteruskan pada Selasa.

Kebakaran berlaku sejurus selepas 4 pagi waktu tempatan dan api berjaya dikawal selepas kira-kira 30 minit, lapor Bangkok Post.

Pasar Chatuchak merupakan antara pasar hujung minggu terbesar di Thailand yang menarik kunjungan kira-kira 200,000 orang setiap Sabtu dan Ahad.

Pasar terbuka itu menawarkan pelbagai jenis makanan, pakaian, seni dan perkakas rumah merangkumi sekitar 15,000 gerai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 11:14 PM