Empat suspek yang sedang diburu. - Foto Ihsan IPD Tawau
Empat suspek yang sedang diburu. - Foto Ihsan IPD Tawau
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my


LIMA lelaki ditahan manakala empat lagi sedang diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di kawasan pusat hiburan Jalan Kuhara Tawau, 17 September lalu.

Mangsa, Norajlan Norsait, 32, meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Besar Tawau akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, lima suspek lelaki berusia 28 hingga 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan manakala empat lagi yang sedang diburu ialah Harman, 20; Ajai, 30; Fadilah Abdul Latif, 34; dan Herman Langguru, 33.

"Siasatan mendapati pada 16 September lalu, mangsa ke pusat hiburan di Jalan Kuhara bersama lima rakannya.

“Kira-kira 2 pagi, 17 September, mangsa dan rakannya keluar dari pusat hiburan berkenaan untuk pulang dan ketika berada di luar pusat hiburan itu, tiba-tiba sekumpulan lelaki (suspek) datang dan menyerang seorang rakan mangsa,” katanya yang dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa cuba meleraikan pergaduhan namun seorang suspek menumbuk mukanya

“Mangsa melarikan diri ke arah Jalan Kuhara namun diekori dua suspek.

"Mangsa kemudian dipukul dua suspek berkenaan di kepala namun dia sempat menyelamatkan diri sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Fadil berkata, motif kejadian akibat perselisihan faham ketika berhibur di pusat hiburan berkenaan.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 8:55 PM