GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyamun kedai serbaneka di Jalan Kuhara, Tawau, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, lelaki berusia 37 tahun yang memakai topi keledar dan bertopeng meluru masuk ke kedai tersebut lalu mengacukan pedang samurai ke arah pekerja kaunter sambil mengarahkannya menyerahkan wang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, sepasukan polis yang sedang melakukan Ronda Cegah Jenayah di sekitar kawasan tersebut melihat insiden itu dan masuk ke dalam premis tersebut sebelum memberi amaran kepada suspek.

Polis kemudiannya menahan suspek itu dan turut merampas pedang samurai yang berhulu kayu panjang kira-kira 60cm serta pemutar skru berhulu hitam termasuk topeng muka, katanya dalam kenyataan di Tawau, hari ini.

Hasil siasatan awal, Fadil berkata, suspek yang juga positif dadah jenis Syabu dan memiliki rekod jenayah lampau termasuk beberapa kali dipenjara atas kesalahan dadah serta pernah diusir ke negara asalnya Filipina mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 pada 2006.

Suspek yang mengaku terlibat dalam kes samun itu direman hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 11:26 AM