Mayat pekerja ladang sawit ditemui ditanam di sebuah pulau di Kalabakan Selatan, Tawau, kelmarin. FOTO ihsan polis
Mayat pekerja ladang sawit ditemui ditanam di sebuah pulau di Kalabakan Selatan, Tawau, kelmarin. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman


Tawau: Mayat pekerja ladang sawit dipercayai dibunuh ditemui ditanam di sebuah pulau di Kalabakan Selatan, Tawau, kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Susanto, 64, ditemui dengan kesan luka di rusuk kanan serta lengan kiri dipercayai akibat tikaman menggunakan senjata tajam.

Tangan kanan lelaki itu pula patah dan terdapat kesan lebam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, mangsa keluar memancing bersama tiga lelaki berusia 30 hingga 40 tahun ke kawasan Laut Silimpopon, Kalabakan Selatan, pada 1 Februari lalu, jam 7 pagi.

“Mangsa bagaimanapun tidak pulang sehingga isteri meminta pertolongan polis bantuan Felda.

“Menerusi bantuan seorang saksi, suspek yang dilaporkan sudah berada di Bonteng, Kalimantan, Indonesia berjaya dihubungi dan dia memberitahu mayat berada di kawasan bukit sebuah pulau,” katanya.

Beliau berkata, mayat kemudiannya ditemui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 12:09 PM