GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nasrawati Syarifuddin


POLIS buru tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun hingga mendatangkan kecederaan kepada pelajar di kawasan Jalan Persisiran, Tawau, 7 November lalu.

Mangsa berusia 16 tahun cedera selepas ditikam dua kali di belakang badan menggunakan kerambit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, tiga suspek yang berusia lingkungan 20-an itu masih bebas dan usaha memburu suspek masih diteruskan hingga kini.

"Ketiga-tiga suspek masing-masing berketinggian 170 sentimeter (sm) hingga 175 sm, berkulit gelap dan berambut pendek.

"Siasatan awal juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan tiada saksi yang tampil memberi keterangan disebabkan lokasi yang jauh daripada tumpuan orang ramai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadil berkata, mangsa kini masih mendapat rawatan di Hospital Tawau dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

FADIL Marsus
FADIL Marsus

Dalam kejadian 3.15 petang, 7 November lalu, remaja perempuan berusia 17 tahun sedang duduk bersembang dengan mangsa selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, mereka didatangi tiga lelaki tidak dikenali sebelum diugut dan diminta menyerahkan telefon bimbit masing-masing.

"Mangsa enggan menyerahkan telefon bimbitnya menyebabkan suspek berang dan mengeluarkan kerambit serta menikam mangsa.

"Mangsa kemudian terpaksa menyerahkan kedua-dua telefon bimbit sebelum suspek melarikan diri. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 1:15 PM