Pisau yang digunakan suspek untuk menyerang mangsa. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Pisau yang digunakan suspek untuk menyerang mangsa. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


POLIS berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dengan kes mencederakan wanita warga emas, di Jalan Merdeka Raya, Tawau, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, suspek warga Filipina berusia 23 tahun itu di tahan di Jalan Kastam Lama, Lahad Datu, kira-kira jam 5 petang, semalam.

Katanya, suspek dipercayai terbabit dalam kes mencederakan mangsa berusia 66 tahun menggunakan pisau pemotong sayur.

"Dalam kejadian itu, pihak polis menerima panggilan orang awam yang memaklumkan terdapat kesan tompokan darah mencurigakan di luar rumah mangsa.

"Polis yang bergegas ke tempat kejadian terpaksa memecahkan pintu rumah mangsa yang berkunci,”€ katanya.

Fadil berkata, sebaik masuk ke dalam rumah, mangsa didapati berada dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

"Pasukan paramedik yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa masih bernyawa dan segera dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa cedera di belakang kepala, pipi dan jari mangsa akibat ditikam dengan pisau,”€ katanya.

Fadil berkata, motif kejadian dipercayai disebabkan mangsa marah kepada suspek yang masuk ke dalam rumah penginapannya melalui tingkap.

"Suspek yang berang terus bertindak menyerang mangsa menggunakan pisau sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

"Hasil ujian saringan air kencing suspek turut didapati suspek positif dadah jenis methapethamine,"katanya.

Fadil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 8:53 PM