Suspek yang diburu polis. FOTO ihsan polis
Suspek yang diburu polis. FOTO ihsan polis
Nasrawati Syarifuddin


POLIS menahan dua lelaki dan memburu dua yang lain selepas mereka dipercayai membelasah pengakap sukarelawan yang melakukan rondaan di luar kawasan sebuah sekolah rendah di Tanjung Batu Tengah, Jalan Kukusan, Tawau, 29 September lalu.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa, Iskandar Alwi, 20, dirawat di Hospital Tawau dan menerima 19 jahitan di kepala, 10 jahitan di tangan kiri, serta empat jahitan di tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian salah seorang guru di sekolah berkenaan ternampak kelibat dua lelaki masuk ke kawasan padang sekolah yang sedang menjalankan program perkhemahan.

"Bagaimanapun kedua-dua suspek itu melarikan diri selepas disedari oleh guru terbabit.

"Susulan kejadian itu, guru besar mengarahkan rondaan dilaksanakan bagi mengelak sebarang pencerobohan berlaku ketika program perkhemahan sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini

Fadil berkata, ketika guru dan mangsa menjalankan rondaan di kawasan sekolah, sekumpulan empat lelaki yang melepak di luar pagar bertindak membaling batu ke dalam sekolah.

"Mangsa kemudian keluar menuju ke arah kumpulan lelaki terbabit dengan membawa dua bilah parang untuk menegur tindakan kumpulan lelaki terbabit.

"Guru yang bertugas meminta mangsa supaya menunggu kehadiran anggota polis. Bagaimanapun mangsa tidak mengendahkan larangan itu.

"Lima minit kemudian, mangsa kembali ke dalam sekolah dengan keadaan cedera di kepala dan tangan dipercayai dibelasah," katanya.

Menurutnya, pergaduhan itu tidak dapat dilihat oleh guru lain memandangkan keadaan kawasan luar sekolah yang gelap dan dianggarkan kawasan kejadian kira-kira 100 meter dari sekolah.

"Anggota polis yang tiba di lokasi kemudian menahan dua lelaki masing-masing berusia 20 tahun untuk siasatan lanjut.

"Polis kini sedang memburu dua lagi suspek iaitu Mohammad Ridzuan @ adik, 20, dan Ecan (nama panggilan secara lisan) berumur 20-an," katanya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 447 kerana melakukan pencerobohan dan 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 11:35 AM