Keadaan kereta dinaiki dua lelaki yang merempuh lori di Batu 14, Kilometer 20, Jalan Apas, Tawau. - Foto Ihsan PDRM
Keadaan kereta dinaiki dua lelaki yang merempuh lori di Batu 14, Kilometer 20, Jalan Apas, Tawau. - Foto Ihsan PDRM
Nasrawati Syarifuddin


SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan mereka naiki merempuh lori di Batu 14, Kilometer 20, Jalan Apas, Tawau, hari ini.

Dalam kejadian 8.35 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya berusia 30 tahun, cedera.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika kejadian mangsa memandu Proton Wira dalam perjalanan dari arah Tawau ke Balung.

“Setiba di lokasi, sebuah lori dipandu lelaki 45 tahun yang berada di hadapan dipercayai cuba membuat pusingan U.

“Mangsa tidak sempat mengelak lori terbabit menyebabkan bahagian hadapan kenderaannya berlanggar dengan bahagian sisi sebelah kanan lori terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu kenderaan mangsa terbabas ke susur jalan sebelah kiri.

“Mangsa parah di badan akibat tersepit sebelum disahkan meninggal dunia dan seorang penumpang cedera.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 3:50 PM