Keadaan kereta mangsa selepas merempuh sebuah lori, di Batu 14, Kilometer 20, Jalan Apas, Tawau. FOTO Ihsan IPD Tawau
Keadaan kereta mangsa selepas merempuh sebuah lori, di Batu 14, Kilometer 20, Jalan Apas, Tawau. FOTO Ihsan IPD Tawau
Nasrawati Syarifuddin


SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan mereka naiki merempuh sebuah lori, di Batu 14, Kilometer 20, Jalan Apas, Tawau, jam 8.35 pagi hari ini.

Mangsa berusia 25 tahun tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya berusia 30 tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika kejadian, mangsa memandu kenderaan jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan dari arah Tawau ke Balung.

“Ketika tiba di lokasi, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun yang berada di hadapan dipercayai cuba membuat pusingan U.

“Mangsa tidak sempat mengelak lori terbabit menyebabkan bahagian hadapan kenderaannya berlanggar dengan bahagian sisi sebelah kanan lori terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke susur jalan sebelah kiri.

“Mangsa parah di bahagian badan akibat tersepit sebelum disahkan meninggal dunia dan seorang penumpang hanya cedera.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut," katanya.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 5:05 PM