Dzulkifli (tengah) bersama Azmi (lima dari kanan) bergambar dengan pelajar tahfiz selepas hadir program KEJAR '17) di Ma'had As-Syarie, Kampung Melayu Majidee Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Dzulkifli (tengah) bersama Azmi (lima dari kanan) bergambar dengan pelajar tahfiz selepas hadir program KEJAR '17) di Ma'had As-Syarie, Kampung Melayu Majidee Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani


TERDAPAT peningkatan terhadap pemberi maklumat berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan aduan secara terus atau tanpa dedah identiti.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pintu aduan sentiasa terbuka kepada rakyat Malaysia melalui dua cara sebelum siasatan lanjut dijalankan.

"Maklumat yang kita (SPRM) terima aduan dari semasa ke semasa.

"Kita rasa mana-mana rakyat Malaysia yang berdepan isu ini supaya tidak takut dan gentar menyampaikan maklumat secara terus atau tanpa memberikan identiti," katanya ketika menjawab isu berkaitan trend aduan diterima SPRM ketika ini.

Beliau berkata, setiap maklumat diterima akan melalui proses tertentu sebelum siasatan lanjut dijalankan kira-kira 2,100 anggota beruniform di seluruh negara.

"Apabila menerima maklumat, kita bukan terus buka kertas siasatan sebaliknya melihat dulu laporan itu sebelum melakukan analisa.

"Jika ada asas, barulah kertas siasatan dibuka," katanya menjawab soalan pada sidang media sempena Program Kembara Jelajah Anti Rasuah Konvoi Kejar 2017 di Ma'had As-Syarie, Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias dan Mudir Tahfiz Ma'had As-Syarie, Abu Seman Sudin.

Pada majlis itu, SPRM menyampaikan barangan keperluan harian serta wang sumbangan kepada 50 penghuni tahfiz berusia sembilan hingga 15 tahun itu.

Kembara 13 hari itu disertai 43 motosikal berkuasa besar berkonvoi sejauh 2,000 kilometer ke 12 negeri di Semenanjung Malaysia bermula di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Program berkenaan bertujuan untuk menyampaikan mesej anti rasuah kepada rakyat dan beramah mesra dengan masyarakat setempat sempena ulang tahun SPRM ke-50 pada 1 Oktober ini.

Konvoi itu akan berakhir di Putrajaya pada 30 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 1:16 PM