Penolong Pengarah (Keselamatan dan Kebakaran) JBPM Perlis, Na Khoom A/L Kiang memeriksa tarikh luput pemadam api di Sekolah Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) Beseri. - Foto AZHAR RAMLI
Penolong Pengarah (Keselamatan dan Kebakaran) JBPM Perlis, Na Khoom A/L Kiang memeriksa tarikh luput pemadam api di Sekolah Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) Beseri. - Foto AZHAR RAMLI
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SEBAHAGIAN besar pusat tahfiz di Perlis mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penolong Pengarah (Keselamatan dan Kebakaran) JBPM Perlis, Na Khoom Kiang, berkata lebih 80 peratus pusat tahfiz di Perlis memenuhi kriteria ditetapkan pihaknya.

"Sebanyak 12 pusat tahfiz yang membuat permohonan mendaftar keselamatan seliaan kami berjaya mengikuti prosedur keselamatan seperti struktur pembinaan bangunan yang kukuh dan menyediakan dua laluan tangga bagi setiap bangunan.

"Memandangkan pusat tahfiz negeri ini tidak ada dikategorikan sebagai sekolah pondok dan berdaftar dengan Yayasan Pondok Malaysia, majoriti pembinaannya mengikut pelan bangunan sekolah kerajaan," katanya pada sidang media di Ma'had At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah (MATRI) di Beseri, hari ini.

Menurutnya, kawasan yang luas turut menyumbang kepada faktor pusat tahfiz di negeri itu selamat.

“Tiada pusat tahfiz di Perlis menggunakan bangunan komersial atau lot kedai.

"Kawasan sekolah yang luas dan tidak terhad membolehkan pusat tahfiz memenuhi kriteria keselamatan seperti bangunan asrama pelajar menyediakan laluan kecemasan mencukupi, malah ada yang melebihi daripada ditetapkan," katanya.

Namun, beliau tidak menafikan ada sebahagian pusat tahfiz yang terlepas pandang prosedur keselamatan dalam sekolah.

"Misalnya, jumlah alat pemadam api tidak mencukupi, pintu keselamatan dikunci sepanjang masa dan laluan kecemasan terhalang akibat susunan perabot sekolah.

"Bagaimanapun, JBPM negeri setiap tahun membuat pemeriksaan keselamatan secara berkala di semua pusat tahfiz untuk memastikan prosedur keselamatan dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 9:03 PM