MUHAMAD Fitrah hidap hydocephalus.
MUHAMAD Fitrah hidap hydocephalus.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah penderitaan seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang terlantar di rumahnya di Kampung Jimah Lam, akibat penyakit kepala besar atau hydocephalus.

Muhamad Fitrah Muhamad Samser, 6, terlantar selepas menjalani pembedahan membuang air dalam kepala yang semakin membesar selepas dikesan mengidap penyakit itu ketika usia lima bulan.

Bapanya, Muhamad Samser Mohd Timar, 46, berkata, pembedahan pertama anak bongsunya bagi membuang air dalam kepala dilakukan tahun lalu ketika berusia lima tahun.

“Selepas pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Muhamad Fitrah hanya terbaring dan bergantung susu khas disalurkan melalui hidungnya.

“Tahun ini saja, Muhamad Fitrah dibedah sembilan kali bagi membetulkan wayar di kepalanya untuk mengeluarkan air melalui lubang kencing yang tersumbat.

“Setiap dua minggu, saya dan isteri, Maisus Lenti Roslan, 40, berulang-alik dari rumah ke HTJ untuk menukar wayar di hidung tempat saluran susu dan air,” katanya.

Muhamad Samser berkata, perbelanjaan anak istimewa ini amat tinggi sekitar RM4,000 sebulan. Paling mahal adalah susu khas berharga hampir RM100 setin untuk empat hari dan lampin pakai buang.

“Kami tidak kisah tinggal di rumah uzur, asalkan segala keperluan Muhamad Fitrah cukup. Setakat ini bantuan tetap kami terima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM300 sebulan.

“Setiap kali pembedahan kami memerlukan RM2,000 untuk membeli wayar manakala kos pembedahan RM50 sahaja.

“Kami tidak mampu menanggung beban, mujur kakak sulungnya, Amira Norasyikin, 20, yang menuntut di Politeknik Muadzam Shah, Pahang pandai berdikari dan mencari duit poket.

“Mungkin dia tak mahu susahkan kami manakala dua anak lelaki, Muhamad Firdaus, 18, bekerja sendiri dan Firman Hafiz, 15, anak ketiga, tidak bersekolah,” katanya selepas menerima sumbangan dan makanan harian daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih (PERKASIH) Negeri Sembilan.

Orang ramai mahu menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05116-29-00009315-1 (Muhamad Samser).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 6:08 AM