ANGGOTA bomba memadam kebakaran.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran.
HM Digital

Georgetown: Tiga rumah kedai di Tapak Warisan Dunia Pulau Pinang musnah dalam kebakaran di Jalan Pinang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, api dipercayai bermula dari salah sebuah kedai menjual cenderamata sebelum merebak ke kedai bersebelahan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Rozairi Abdul Rahim berkata, pihaknya bersama lima jentera dan 25 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati tiga rumah kedai dua tingkat yang menjual barangan kraftangan sedang terbakar.

“Ketika itu terdapat seorang pekerja wanita terperangkap dalam sebuah kedai namun tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkannya,” katanya.

Mangsa berusia lingkungan 30-an ditemui pengsan akibat lemas dalam asap tebal sebelum dia dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Rozairi berkata, api dapat dikawal pada jam 10.32 pagi dan kerja pemadaman bara masih dijalankan.

Sementara itu, kesesakan teruk lebih dua kilometer berlaku sekitar laluan utama di Pusat Bandaraya susulan kejadian kebakaran berkenaan.

Anggota trafik terpaksa menutup sementara Jalan Pinang, mengakibatkan kenderaan sesak di semua laluan sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 6:28 AM